Yang dibawah ini adalah artikel tulisan Hishamuddin Rais yang saya fikir, mempunyai isi yang bagus untuk kita fikir-fikirkan. Mungkin akan ada yang bersetuju atau tidak, tetapi saya amat berharap anda dapat membaca hingga ke noktah terakhir artikel ini.
Islam Melayu - Hishamuddin Rais
May 7th, 2007
Pada hari ini di Malaysia, jika saya tidak dilahirkan dalam keluarga yang
beragama Islam, tidak mungkin saya akan menukar agama saya untuk menjadi
penganut agama Islam. Apa yang sedang saya lihat berlaku sekarang tidak
meyakinkan saya bahawa agama Islam yang diguna pakai di Malaysia ini adalah
agama kesejahteraan, keharmonian dan agama kasih sayang.
Pandangan saya ini berlandaskan apa yang sedang saya perhatikan berlaku
terhadap agama Islam di dalam dan di luar negara. Banyak pekara yang saya
lihat meyakinkan saya bahawa agama Islam yang wujud di Malaysia hari ini
bukan lagi satu agama yang berlandaskan kasih sayang. Ya Rahman dan Ya Rahim
yang menjadi tunggak Islam telah dihilangkan.
Saya melihat negara-negara yang mengakui bahawa daulah mereka adalah daulah
Islamiah , kesemuanya sedang diperintah oleh regim yang ganas-ganas lagi
zalim. Dari Morokko hingga ke Indonesia, dari apa yang saya baca,
menunjukkan bahawa tidak ada satu pun daulah Islamiah ini yang dapat
memberikan contoh-contoh terbaik untuk dijadikan ikutan umat manusia.
Pakistan pada tahun 1947 telah diwujudkan atas dasar negara agama Islam. Di
atas nama suci agama ahli-ahli peniaga Islam secara licik telah memecahkan
benua Bharat untuk melahirkan Pakistan Timur dan Pakistan Barat. Lihat apa
akhirnya terjadi - mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri; hingga ke hari
ini masih dirasakan porak perandanya. Pakistan Timur menjadi Bangladesh.
Pakistan Barat terus dibawah junta tentera. Saya tidak nampak ciri-ciri
keIslaman didalam kedua-dua negara yang mengakui berasaskan Islam.
Lihat pula di negara tempat kelahiran agama Islam – Saudi Arabia. Saya
tidak nampak satu yang positif lahir dari negara ini dalam hal penyusunan
kemasyarakatan warganya, walaupun ianya sebuah negara yang amat kaya. Bukan
sahaja negara ini tidak pernah mengamalkan sistem pemilihan pimpinan secara
demokratik, kita juga perlu bertanya dari lubang mananya munculnya sistem
feudal Raja ini. Walhal ketika Nabi Muhamad wafat dahulu tidak pun wujud
salasilah Raja Bani Saud. Hari ini Saudi Arabia memiliki rekod anti ruang
demokrasi yang paling buruk dalam dunia.
Kehidupan warga Saudi dilihat oleh warga dunia sebagai paradoks, schizo dan
bahan lucuan. Warga Saudi yang kaya sering berulang alik ke negara-negara
yang mereka cap sebagai negara kafir. Mereka berbuat demikian untuk
menikmati kehidupan yang lebih selesa dan merasa udara yang lebih segar
untuk bernafas. Malah ramai pula yang terus membeli tempat tinggal dan
menetap di negara-negara kafir ini. Dalam negara kafir inilah baru mereka
dapat merasakan apa itu ruang demokrasi.
Dalam negara kita di Malaysia ini saya perhatikan kefahaman tentang Islam
sebagai satu agama wahyu semakin merosot. Islam yang wujud di Malaysia ini
ialah Islam yang telah di-Melayukan oleh dua parti politik Melayu –
UMNO dan PAS. Inilah Islam yang sedang saya perhatikan dari sehari ke sehari
semakin tidak rasional dan semakin membawa umatnya ke Zaman Kegelapan.
Apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah Islam yang kita lihat bergerak,
dipakai dan digunakan di Malaysia, bukan Islam yang terawang-awang atau
Islam yang diharap-harapkan. Bukan Islam yang keluar dari mulut para
pendakwah Melayu Islam. Bukan cakap-cakap yang muluk-muluk tentang Islam
tetapi Islam yang beroperasi disekeliling kita. Islam yang wujud di
Malaysia pada ketika ini sedang dijadikan alat politik oleh kedua-dua parti
ini. Mempolitikkan agama dalam negara kita ini untuk saya telah sampai ke
tahap yang lucah.
Cuba kita renungkan berita tentang keinginan masyarakat Islam Cina Malaysia
yang ingin mendirikan masjid mereka sendiri. Permintaan ini telah ditolak.
Apa rasional di belakang penolakan ini. Saya merasakan ianya ditolak kerana
Islam di Malaysia ini wajib dilihat sebagai satu agama yang hanya dibenarkan
dimonopoli oleh orang Melayu.
Bukankah lebih baik khutbah Jumaat disampaikan dalam bahasa yang difahami
untuk dihayati oleh para jemaah. Permintaan mereka untuk saya adalah tanda
kecintaan mereka terhadap agama Islam. Mereka ingin menjadi penganut Islam
yang soleh. Khutbah dari Imam bertujuan untuk berkomunikasi. Dalam bahasa
apa pun khutbah boleh disampaikan. Tidak mungkin Yang Maha Esa tidak
memahami bahasa Mandarin atau bahasa Swedish.
Masyarakat Melayu perlu diberitahu bahawa di Tanah Besar Cina penganut agama
Islam lebih besar jumlahnya dari yang wujud di Malaysia. Malah agama Islam
telah sampai lebih awal ke negara China sebelum agama ini datang ke Melaka
pada tahun 1404.
Ada pihak yang mempertikaikan reka bentuk masjid yang akan didirikan mungkin
berciri ke-Cinaan. Jika ini hasilnya maka kita seharusnya bangga untuk
sama-sama merayakan kepelbagian upaya umat manusia dalam penggunakan bahasa
visual untuk mengagungkan Yang Maha Esa.
Juga, jangan lupa untuk pergi ke Melaka untuk menyaksikan betapa indahnya
masjid-masjid Islam awal yang didirikan ratusan tahun dahulu sebelum agama
Islam ini dipolitikkan dan di-Melayukan. Masjid-masjid tua di Melaka ini
memiliki ciri-ciri seni bina Tiongkok.
Akhir-akhir ini timbul satu lagi kes yang paling mendukacitakan saya. Kes
Raimah Bibi Nordin yang dikatakan telah berkahwin dengan lelaki yang bukan
seagaman dengannya sehingga mendapat 7 orang anak. Raimah Bibi telah ditahan
dan kini terpaksa berpisah dengan anak dan suaminya. Berita yang
mendukacitakan ini telah menjadi berita dunia.
Dari apa yang saya baca keluarga ini terdiri dari keluarga yang miskin.
Drama keluarga miskin ini menjadi lucah apabila Islam Melayu campur tangan.
Lembaga-lembaga Islam Melayu ini bukan melihat kemiskinan ini sebagai
masalah yang dihadapai oleh keluarga ini. Islam Melayu ini hanya berjaya
melihat bahawa Raimah Bibi ini wajib dipisahkan dan diselamatkan dari
keluarganya yang mereka dianggap kaffir. Ayah yang namanya P.Marimuthu dan
tujuh orang anak-anak ini tidak perlu dibantu kerana mereka Hindu, yang
perlu diselamatkan hanya Raimah. Inilah contoh terbaik keupayaan fikrah
Islam Melayu dalam pemahaman mereka terhadap Islam.
Dalam kes Raimah Bibi ini saya tidak nampak Islam yang Ya Rahman dan Ya
Rahim. Dalam kes ini saya tidak dapat melihat Islam yang diwar-warkan
sebagai agama yang menganjurkan kasih sayang sesama manusia. Dalam kes ini
saya tidak nampak kesucian Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhamad terhadap
umat manusia. Apa yang saya lihat hanyalah Islam Melayu yang bagitu merosot
sekali akal fikrah mereka.
Apakah tidak sampai ke dalam benak pegawai lembaga-lembaga Islam Melayu ini
bahawa memisahkan anak, ibu dan ayah itu adalah zalim dan tidak
berperikemanusiaan. Apakah tidak mereka dapat menemui ayat-ayat di dalam
kitab suci Al-Quran yang menuntut penganutnya berbuat baik sesama manusia.
Tidakkah mereka menyedari bahawa tiga per empat dari semua ayat-ayat
Al-Quran itu adalah tuntutan Yang Maha Esa agar kita membuat kebajikan
kepada umat manusia. Berbuat baik itu adalah tuntutan agama Islam.
Agama apa pun dalam dunia ini yang dipolitikkan tidak akan membawa apa-apa
manfaat kepada umat manusia.Hari ini saya melihat bahawa lembaga-lembaga
Islam Melayu yang sedang dipolitikkan ini telah mengambil alih tempat Yang
Maha Esa. Mereka bergerak seolah-olah mereka adalah wakil Tuhan yang kudus
di atas muka bumi ini. Hasilnya, apa yang sering kita dengar dari mulut
mereka ialah – tangkap, rotan, sebat, hukum dan api neraka.
Kepada mereka yang bukan beragama Islam, saya memahami kesangsian mereka
terhadap Islam. Apa yang kita lihat ini, untuk saya bukanlah Islam yang
disampaikan oleh Muhamad bin Abdullah. Ianya juga bukan Islam Al-Farabi,
Ibnu Rushd atau Ibnu Sinna.
Islam yang dikembangkan oleh Al-Farabi, Ibnu Rushd dan Ibnu Sinna adalah
Islam rasional, Islam ilmuan. Isalam inilah yang telah mempengaruhi
pemikir-pemikir Katholik dan Judaism di Eropah. Islam ilmuan jenis inilah
yang menjana fikrah para Rabbai dan para Paderi untuk mengenepikan Zaman
Gelap (Dark Ages) Eropah dan membuka Zaman Pencerahaan (Renaissance) untuk
umat manusia.
credit to incik moses..
:)
No comments:
Post a Comment